|
JURNAL HARIAN
24
Jun 2005
Slanga mempengaruhi makna
Beberapa negeri memberi makna tersendiri bagi
katanama tertentu. Kalau tidak diamat-amati kekadang timbul kekeliruan,
bahkan berbalah. Sesetengah negeri, katanama 'semalam' merujuk kepada
malam tadi [Biasanya di pantai timur]. Di negeri sembilan, 'semalam'
difahami hari sebelumnya, biasanya sebelah siang, manakala malamnya,
disebut malam tadi. Di Terengganu, semalam memberi makna malam tadi [sebelah
malam sahaja] Manakala hari sebelumnya [secara umum, biasanya sebelah
siang], disebut kelmarin. Kalau dua hari sebelumnya [selepas kelmarin]
disebut kelmarin dulu. Demikian juga dengan frasa besuk pagi. Di N.
Sembilan ia bererti, keesokan harinya samada pagi atau petang. Sesetengah
tempat hanya menganggapnya sebelah pagi, manakala petang, di sebut besuk
petang. Di N. sembilan kita memahaminya secara umum, samada pagi mahupun
petang. Kalau disebut, 'besuk pagi aku hendak ke sana', ini bererti tidak
semestinya pagi, barangkali sebelah pagi mahupun tengah hari.
Negeri-negeri pantai timur sering menggunakan kata
peneguh yang dianggap pengulangan yang tidak perlu. Contohnya, mengantuk
mata [ngatuk mata - slanga Terengganu] Lapar perut, lapar nasi dll.
Sedangkan kalau diikutkan adakah yang lapar selain perut, adakah yang
mengantuk selain mata. Kebiasaan di pantai barat, kita hanya sebut, 'aku
dah mengantuk. 'Aku dah lapar ni..' atau, 'Perut aku dah lapar'. Perbezaan
ini disedari bagi yang prihatin, atau mungkin semua menyedari, tapi tak
berapa ambil peduli. Mungkin juga ada yang benar-benar perasaan kekeliruan
makna ini.
JURNAL HARIAN
21
Jun 2005
Jarum dan kondom
Beruntungnya penagih era mellineum kerana mereka
akan dibekalkan kondom dan jarum percuma. Kalau tak silap pembacaan,
beberapa minggu sebelum pengumuman ini, akhbar ada menulis, jika
dibandingkan dengan negara membangun yang lain, Malaysia masih lagi
diperingkat permulaan. Tak berapa lama selepas tu, terpapar kenyataan,
virus HIV yang yang dibiakkan oleh penagih di Malaysia kini di peringkat
darurat. Kenapa tidak kembali ke akar umbi masalah. Brunei enggan mengikut
jejak langkah Malaysia, kerana menurut mereka, tidak mahu dianggap sebagai
satu galakkan kepada penagih. Kenapa kita memilih jalan pintas yang
hasilnya belum tentu mengutungkan. Beruntungnya pembekal jarum dan kondom.
Sudah tentu pendapatan mereka berlipat ganda selepas pengumuman ini.
JURNAL HARIAN
13
Jun 2005
Kemalangan maut
Siang tadi baru kembali dari Negeri sembilan, setelah hampir dua minggu
berada di sana. Sepanjang tempoh itu isteri berada di MPI Bangi, kecuali di hujung
minggu sempat kembali seketika ke rumah mertua, di samping meraikan
perkahwinan adik ipar. Selama di N. S memang langsung tidak berkesempatan menjengah ke
dunia siber. Saya yakin pengunjung kini faham kenapa blog tidak ber-update.
Selama cuti sekolah 2 minggu, banyak kemalangan maut yang meragut nyawa
sekeluarga. Ramai anak yang jadi yatim piatu, ramai isteri yang menjanda.
Puncanya, jalan tak elok atau sikap pemandu, atau takdir sudah
menentukannya begitu? Apa yang saya lihat, semakin besar jalan, semakin
ramai remaja yang berlumba haram. Semakin lurus, pemandu semakin memecut
dan terlalu selesa serta yakin. Mengikut pengamatan penulis, kemalangan jarang
berlaku di jalan yang terlalu berselekoh kerana pemandu lebih berhati-hati.
Jalan lurus kini dilihat dah jadi sungai mayat. Jadi, apakah kerajaan
perlu membengkokkan jalan yang terlalu lurus. Bagi saya, punca sebenar
ialah sikap pemandu sendiri. Sejauh manakah mereka berusaha menghindari
kemalangan maut.
JURNAL HARIAN
28 Mei 2005
Sepagi di Karangkraf
Lebih kurang sejam lebih berada di meja editor
Karangkraf [KK] - Bhgn Majalah, Kak Sri Diah, masa dirasakan begitu pantas
berlalu. Keramahan dan kepetahannya berbicara
langsung tidak membuatkan kami sekeluarga berasa canggung bersua dengannya.
Hingga terlupa siapa sebenarnya orang di hadapan kami. Kak Sri antara
tokoh yang paling senior dalam KK. Selebriti unik, seorang editor
sekaligus penulis dan novelis yang telah 20 tahun lebih berada di KK, tapi
langsung tidak memperlihatkan dirinya telah jemu atau bosan dengan
kariernya. Malah masih kelihatan begitu bersemangat, melangkah yakin,
tabah, cekal dan penuh misi. Sifat keibuan yang begitu tebal, langsung
tidak menampakkan yang dirinya seorang penjawat yang berperanan penting di
dalam sektornya sendiri. Kak Sri sedang gencar menyiapkan novel terbarunya.
Seluruh peminat pastinya sudah terlalu dahagakan sentuhan penanya.
Satu insiden mencemaskan berlaku sepanjang kami di ruang pejabat. Anak
tersengkang gula-gula di tenggorok. Mujur terkeluar semula setelah
termuntah. Saya dah cemas. Ini dah kali ke lima kejadian yang sama
berulang, kata isteri. Kak sri menghulurkan beberapa helai tisu buat
mengelap lelehan mutah. Syukur tak apa-apa.
Sebelum berangkat pulang, Kak Sri belanja makan di kafe KK. Makan nasi
putih berlauk ikan pari masak asam pedas. Anak menjamah seketul ayam
berserta sayur. Kak Sri pulak hanya berlaukkan sayur. [Barangkali sedang
diet atau jaga badan] Kak Sri jarang makan tengahari. Waktu pagi Kak Sri
mengambil sarapan berat, ujarnya ringkas. Waktu rehat banyak dihabiskan
untuk menulis novel. Rutin hidup penulis. Mencuri waktu-waktu senggang
untuk berkarya. Menunggu waktu lapang sehingga bila takkan bersua. Isteri
berhasrat untuk membeli beberapa buah novel. Ketika menghulur wang di
kaunter, juruwang ketiadaan wang kecil. Bertanya Kak Sri jika ada wang
kecil. Rupa-rupanya duit saya dikembalikan, lantas kak sri yang
menanggung semua kos. Hendaknya kak Sri tak menyesal menyambut kedatangan
kami, sehingga terpaksa berbelanja secara tidak terancang. Maafkan kami
wahai kak sri atas ketidaksengajaan itu.
JURNAL HARIAN
27 Mei 2005
Bencana besar - Armageddon
Banyak perkara yang nak didebarkan dalam hati.
Antaranya berdebar menghadapi saat berenggang dengan isteri yang hendak
mengikuti kursus perguruan. Dua minggu pulak tu... Anak ditinggalkan
bersama suami. Alangkah janggalnya dirasakan. Kedua, berdebar menanti
keputusan temuduga. Apakah ada sinar atau masih berteduh di bawah awan
kelabu. Semuanya entah...
ii
Beberapa hari lepas ada seseorang bagitau, pada
tanggal 25 Mei ini ada malapetaka besar bakal terjadi. Lebih dahsyat dari
bencana Tsunami. Sampai-sampai ke rumah sekembali dari berjalan jauh, ipar
duai sok sek, sok sek, itu ini. Katanya akan lahir seorang bayi kecil yang
boleh berkata-kata. Dalam genggaman tangannya ada tulisan nombor 25.
Katanya lagi, amaran ini dikeluarkan oleh seseorang yang berpengaruh besar.
Sebelum ini pun saya dah dengar cerita sebegini. Katanya, pada 25 safar
akan berlaku satu keanehan. Tok guru pondok Pasir Tumbuh yang kata, ujar
mereka. Saya katakan, semuanya serba mungkin. Boleh jadi benar, boleh jadi
tidak. Soalnya benarkah mereka kata? Jangan pandai-pandai nak kait-kaitkan
dengan amaran seseorang; tok guru, orang itu, orang ini. Kemungkinan
berita ini disebar dalam internet atau sms. Hati-hati!! Adakalanya boleh
jadi ada rencana lain untuk menjatuh imej individu, lalu dikaitkan ramalan
yang bukan-bukan dan dikaitkan dengan orang-orang tertentu. Bila semua
orang percaya, tau-tau sampai tarikhnya tak jadi apa-apa, apa jadi dengan
imej orang berkenaan. Kan boleh menjatuhkan maruahnya. Saya cuma jawab,
kita tunggu dan lihat. Ternyata 2 tarikh berkenaan sudah berlalu dan tiada
apa-apa yang berlaku. Jelas!! Kalau mungkin terjadi, tak semestinya pada
tanggal 25, memang mala petaka banyak berlaku di akhir zaman. Bahkan akan
lahir dajjal. Siapakah yang mereka-reka cerita tadi. Apa agenda sebenarnya.
Lain kali dengar boleh, tapi jangan percaya dulu.
JURNAL HARIAN
24 Mei 2005
Ragam Pemandu
Seawal pagi menuju ke Kelang
dengan memandu kenderaan, benar-benar menampakkan tabiat buruk
segelintir pemandu masyarakat kita. Dengan aksi samseng, berlagak jaguh, gelojoh dan cetek akal
mereka
memotong membabi buta dalam kesesakan jalan K. Selangor - Kelang yang
berderet panjang, kononnya
dialah yang paling cepat dan cekap. Tapi taklah secekap mana dan tak boleh memecut
selaju mana. Apa tidaknya, jalan sesak macamana nak memecut. Kejap-kejap
terpaksa memberek. Tidak ke memandu sebegitu boleh menambah sesak
kepala. Sepanjang perjalanan, hati ni tak sudah-sudah menyumpah-nyumpah.
Sempat menjeling-jeling, ingin melihat siapa dia gerangan jaguh jalanraya itu,
oohh... rupa-rupanya anak remaja melayu kita juga. Setahu saya cara pemandu di Malaysia
sering dikritik oleh pelawat dari luar. Mereka kata pemandu Malaysia,
telinga nipis, panas baran, pantang silap sikit, pantang lambat dan
macam-macam lagi. gambaran buruk ini dikukuhkan lagi, apabila tragedi sebuah bas yang membawa delegasi luar terlibat
dengan kemalangan di Sabah baru-baru ini.
|